Bahasa : malay | english

Lean@UPM


Pengurusan Lean merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan organisasi kejat yang telah dimulakan oleh UPM pada tahun 2013. Ia merupakan kaedah pengurusan alternatif kepada organisasi dalam menghadapi cabaran dalam menguruskan universiti akibat kekangan sumber seperti kewangan dan sumber manusia.


Bagi merancang secara komprehensif keperluan sumber manusia, mempercepat serta meningkatkan kualiti perkhidmatan di UPM, sistem Pengurusan Lean didapati sebagai alternatif dalam menguruskan operasi harian dengan sumber-sumber yang cekap serta kos minimum dan merupakan satu inovasi bagi menggalakkan organisasi memperbaiki sistem kerja dan cara kerja baru (think differently; do more with less).

Perbadanan Peroduktiviti Malaysia (MPC) telah menawarkan Projek Pembangunan Sistem (PPS) Pengurusan Lean melalui pendekatan Enterprise Innovation Intervention Programme (EIIP) secara kerjasama bersama UPM pada Mac 2014 bagi memastikan Pengurusan Lean dapat dilaksanakan secara menyeluruh di UPM sekaligus membantu UPM membudayakan amalan Lean di tempat kerja. EIIP merupakan satu pendekatan bersepadu yang digunapakai untuk program penambahbaikan berterusan dalam organisasi yang mana diakhir program organisasi dijangka berupaya mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kecekapan sistem operasi. Melalui pendekatan EIIP, diperingkat awal organisasi akan dinilai untuk melihat tahap pemahaman dan pengamalan budaya lean di tempat kerja.


Melalui projek ini, UPM telah dibimbing oleh pihak MPC bagi merealisasikan hasrat universiti untuk menjadi organisasi kejat yang mendokong amalan penambahbaikan berterusan dengan menambahbaik proses kerja sedia ada sekaligus meningkatkan sistem perkhidmatan di UPM secara menyeluruh. Pasukan Organisasi Kejat UPM yang telah dilantik dikalangan pegawai-pegawai kanan universiti juga telah diberi latihan secara berstruktur serta diberi peluang pendedahan pengalaman dengan organisasi dalam dan luar negara.


Tempoh masa Projek Pembangunan Sistem Pengurusan Lean ini adalah selama 4 bulan dengan bayaran penyertaan program sebanyak RM4,000.00. Fasilitator yang mengendalikan program ini adalah pegawai MPC dan Perunding Bertauliah yang berdaftar dengan MPC yang disertai oleh Ahli Jawatankuasa Organisasi Kejat UPM, Ketua Pasukan Lean UPM dan Ketua Projek Lean UPM.


Kemaskini Terakhir : Tue, 30 Jun 2015 (fauziah_m)