Bahasa : malay | english

sejarah

PALAPES ialah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Reserve Officers Training Unit (ROTU). PALAPES ditubuhkan sebagai pusat melatih pegawai dari kalangan pelajar. Penubuhannya  adalah merupakan salah satu program negara melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan yang berperanan untuk melatih bakal-bakal pegawai dari Universiti Awam (UA) tentang aspek ilmu ketenteraan. Pelajar universiti yang menjalani program ini dengan jayanya akan melayakkan mereka ditauliahkan sebagai seorang pegawai bertauliah oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam pasukan simpanan sukarela ATM.

 

Sejarah awal PALAPES bermula pada 3 April 1965 dengan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah cawangan Universiti Malaya (UM). Ianya telah dimulakan dikalangan staf dan pelajar UM berikutan dengan peristiwa konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963. Di peringkat awal penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester. Kebanyakan daripada mereka merupakan pelajar-pelajar yang sudah mempunyai asas-asas ketenteraan dan polis dengan sebahagian besarnya merupakan pelajar-pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja. Tragedi 13 Mei 1969 menyaksikan Kompeni ini berkembang ke UA lain dengan penubuhan Kompeni A di UiTM (dahulunya dikenali dengan ITM), kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan dengan semangat juang yang tinggi dikalangan pelajar-pelajar UA ini, Brigedier General Dato' Abdul As Ismail selaku Pengarah Askar Wataniah ketika itu telah mengambil inisiatif berbincang dengan Naib Canselor-Naib Canselor Universiti dan pengarah UiTM ketika itu untuk menubuhkan PALAPES.

 

Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan PALAPES dengan objektif untuk melahirkan Pegawai-pegawai sukarela dari kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar di UA. Namun begitu, PALAPES  sukar mendapat sambutan dari kalangan pelajar berikutan jadual kursus di Pusat  Latihan Askar Wataniah (PLAW) tidak seiring dengan cuti semester. Selain daripada itu, mahasiswa juga tidak berpeluang untuk mengikuti kursus bakal pegawai kerana prosedur-prosedur yang perlu dilalui pada ketika itu. Pada 26 Februari 1979, satu mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh Naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM untuk menubuhkan PALAPES di universiti masing-masing. Kesemua UA di Lembah Klang telah dicadangkan untuk menubuhkan PALAPES dengan bantuan dari KEMENTAH. Pada 1 Julai 1979, UKM telah dipilih untuk menubuhkan PALAPES  percubaan dan kemudiannya diikuti oleh UA lain seperti UM, UPM, USM dan ITM. Latihan-latihan dijalankan di sekitar kampus dan di kem-kem tentera berhampiran.

 

Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. Pada masa kini, PALAPES telah ditubuhkan di 18 buah IPTA dan 1 IPTS.



PALAPES Tentera Darat

                        

PALAPES UPM yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Februari 1980, merupakan pasukan PALAPES yang ketiga ditubuhkan di Malaysia selepas Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya. Pada awal penubuhannya, PALAPES UPM hanya menawarkan latihan dalam cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (PALAPES Tentera Darat).

   

PALAPES Tentera Laut

Pada 1 Jun 2004, PALAPES UPM mencatat sejarah dengan penubuhan PALAPES Tentera Laut.  Ianya adalah hasil cetusan idea daripada titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor selaku Commander-In-Chief TLDM.  Komandan PALAPES UPM pada masa itu, Prof. Dato’ Dr. Ir. Mohd. Zohadie Bardaie telah mengambil perhatian penuh dalam penubuhan PALAPES Tentera Laut ini dan dibantu oleh Timbalan Komandan PALAPES UPM iaitu Lt. Kol. Prof Madya Dr. Rashid Ibrahim. Pentadbiran PALAPES Tentera Laut terdiri daripada anggota tetap TLDM, Staf PALAPES UPM dan anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari unit KD SRI KLANG.

 

Ambilan pertama PALAPES Tentera Laut bermula pada 13 hingga 19 Jun 2004 di mana seramai 46 orang mahasiswa  telah terpilih untuk menyertai PALAPES Tentera Laut UPM, selepas berjaya melepasi Ujian Kecergasan Asas (UKA) dan sesi temuduga oleh Lt. Kdr. Ismail bin Othman (TLDM) selaku Ketua Jurulatih PALAPES Tentera Laut UPM. Pegawai UPM yang  menjadi Staf PALAPES Tentera Laut UPM yang pertama ialah Lt. Dr. Mohd Hasmadi bin Ismail (PSSTLDM) pada tahun 2006. Pentauliahan kali pertama PALAPES  Tentera Laut UPM telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada  tahun 2007 di UiTM.


Kemaskini Terakhir : Mon, 28 May 2018 (zuraya)